Penyanyi, Mas Idayu akhirnya tampil bersuara susulan perselisihan faham yang berlaku antara dirinya selaku juri di program Famili Duo (FD4) bersama peserta, Joey Daud.
Penjelasan Mas Idayu
Ketika ditemui , Mas Idayu atau nama lengkapnya Masidayu Mesnun, 52, selaku juri di FD4 menegaskan bahawa isu terlupa lirik ketika persembahan bukanlah faktor duo Joey dan Naqiu tersingkir.
Bukan kerana lirik tu pun mereka tersingkir, jangan nak besarkan isu itu. Kalau seandainya ada rasa tak profesional, siapa saya perlu singkirkan untuk masuk mereka balik?
Penjelasan itu diberikan susulan kenyataan Joey yang menyangkal komen juri yang mendakwa dia terlupa lirik ketika mendendangkan lagu Terhangat Di Pasaran dan Inilah Nasibku.
Pelantun lagi Cintaku 100% ini turut menjelaskan bahawa pemilihan hanya tiga duo terbaik ke peringkat akhir adalah di luar bidang kuasanya. Sebaliknya selaku juri dia dan Ajai hanya menjalankan tugas menyingkirkan satu daripada tiga duo sahaja.
Kita hanya diberi peluang memilih tiga duo, itu bukan keputusan saya. Kalau rasa dia sesuai untuk ke pentas akhir, siapa juri perlu buang? Tapi kalau dia (Joey) salah faham dengan komen saya, dengar balik apa yang saya cakap masa malam tu.
Mas Idayu berkata demikian ketika pelancaran single terbaharunya yang berjudul Harum Mekar Di Hati yang berlangsung di Red Box, The Curve pada Khamis.
‘Saya juri yang sangat adil’
Dalam pada itu, Mas Idayu turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia mempunyai favoritism sebaliknya mengakui dia seorang juri yang adil.
Saya juri yang sangat adil. Tak perlu timbul isu favoritism, sebab kalau ikutkan memang saya suka Tomok tapi saya pernah je tak bagi dia markah tinggi. Saya adil, kau buat salah kau tetap kena.
Apabila ditanya mengenai responnya tatkala orang ramai membandingkan cara penjuriannya dengan program realiti lain, Mas Idayu mengakui dia enggan mengambil pusing dengan pandangan orang.
Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya pun tak nak jadi orang lain. Saya tak pernah memberikan komen terhadap kawan-kawan atau sesiapa sahaja yang menjadi juri.
Saya tak pernah sekali pun kacau orang tapi ramai yang kacau saya sebab mereka tak suka cara saya.
Dalam perkembangan lain, Mas Idayu baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Harum Mekar Di Hati ciptaan Ajai selaku komposer dan lirik oleh Raizo Almirez.