Dua bintang terkenal industri muzik Malaysia iaitu Nabila Razali dan Bella Astillah menghadiahkan para peminat dengan single terbaharu mereka berjudul CACACA.
Lagu CACACA oleh Nabila Razali & Bella Astillah
Kolaborasi sulung yang terjalin antara dua penyanyi ini sememangnya menjanjikan pengalaman muzik segar dan penuh tenaga yang turut menampilkan sisi lain Nabila dan Bella.
CACACA iaitu sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara. Irama catchy, lirik yang simple dan mudah diingati mampu mencipta fenomena baharu buat para pendengar.
Ketika ditemui , Nabila mengakui lagu CACACA ini merupakan pilihan yang tepat buat dirinya memandangkan dia juga sudah lama tidak mengeluarkan lagu bergenre demikian.
Ramai peminat dah rindu nak dengar saya nyanyi lagu catchy, sebelum ni asyik lagu galau je. Jadi bila saya dilamar oleh Faithful dan Universal Music Malaysia, saya dengar demo terus saya rasa lagu CACACA ini kena dengan karakter saya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu CACACA yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam pada itu, pelantun lagu Selagi Ku Ada ini mengakui tidak menyangka berpeluang kolaborasi bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Jodoh kami kuat, sebab kami selalu jumpa di event dan akhirnya dapat bekerjasama.
Nabila juga tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan lebih banyak lagu bergenre sedemikian pada masa akan datang.
Sementara itu, Bella Astillah menyifatkan kolaborasi bersama Nabila Razali merupakan satu peluang yang baik untuk dirinya mengembangkan lagi kariernya sebagai penyanyi.
Sebelum ni saya banyak nyanyi lagu-lagu sedih, cover lagu penyanyi lain tapi sekarang saya ada lagu sendiri. Lagu ini pun buat saya happy, mungkin lepas ni saya boleh bawakan lagu CACACA di show.
Bukan itu sahaja, Nabila dan Bella yakin bahawa lagu CACACA ini mampu menarik minat pendengar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Lirik lagu ini pun berkaitan nasihat kehidupan dan positif. Jadi semua lapisan umur boleh dengar.
Lagu CACACA yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, ciptaan Mge (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing), Ezra Kong (Raksasa Studio) telah didapati di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan Youtube Muzik.