Penyanyi Nadeera Zaini akhirnya membuka mulut berhubung kontroversi yang mengaitkan dirinya sebagai penyanyi wanita yang didakwa tinggal serumah dengan lelaki yang sudah berstatus suami orang.
‘Saya nafikan semahu-mahunya’
Ketika ditemui , pemilik nama Farah Nadeera Zaini atau lebih mesra dengan panggilan Nadeera menegaskan bahawa dakwaan itu adalah satu fitnah malah mengakui tidak tahu mengapa tiba-tiba namanya dikaitkan dalam isu tersebut.
Saya nafikan semahu-mahunya dan saya pun tak tahu lah tiba-tiba nama kena petik.
Saya memang tak masuk campur hal orang, rumah tangga orang dan saya tak nak komen apa-apa. Terpulang pada orang nak cakap apa tapi itu bukan saya.
Pelantun lagu Bukan Lagi Kita itu juga tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat pihak yang sengaja mereka cerita tersebut dengan niat untuk merosakkan reputasinya yang kini semakin menonjol dalam industri.
Saya rasa mungkin ya sebab sekarang ni kita tak tahu mungkin berlaku secara tiba-tiba.
Saya tak ambil peduli tentang perkara itu.
Nadeera berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media Gempak Most Wanted Awards 2025 yang berlangsung di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Keluarga faham ‘permainan’ industri seni
Bagaimanapun, Nadeera meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan ibu bapa dan keluarga yang sangat memahami dan faham akan ‘asam garam’ dunia seni.
Nasib baik mereka faham dan saya jelaskan perkara sebenar. Alhamdulillah mereka okay.
Mereka pun tahu ini merupakan gosip yang sengaja dibuat untuk menghangatkan keadaan. Yelah, AJL pun akan berlangsung tidak lama lagi. Macam-macam isu yang timbul.
Apabila ditanya bagaimana dia boleh kekal tenang walaupun namanya terpalit dengan isu ‘penyondol’, Nadeera berkata tiada apa yang perlu ditakuti kerana dia berada di pihak yang benar.
Saya tidak salah. Jadi, buat apa nak takut. Itu sahaja cara saya. Berani kerana benar.
Saya sebolehnya nak menepis gosip-gosip panas. Kalau boleh saya mahu menjadi artis yang bersih. Saya bukan orang yang suka cari masalah.
Tambah Nadeera lagi, dia juga kini sedang sibuk membuat persediaan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Ia tidak mengganggu konsentrasi saya menjelang AJL. Saya seorang yang tak ambil kisah bila timbul isu seperti ini. Saya tidak mahu memeningkan keadaan.
Ketika ini, fokus saya adalah persiapan menjelang AJL. Jadi, saya malas nak beratkan dan fikir isu-isu remeh seperti ini.
Memang itu bukan saya. Lantaklah orang nak cakap apa pun.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengenai seorang penyanyi sebuah program realiti televisyen didakwa bersekedudukan dengan suami orang. Nama Nadeera antara yang dipetik netizen kerana ketika itu dia baru sahaja membeli mikrofon.