Pemenang anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) iaitu Qisha Hairulzain tidak menyangka dirinya akan dinobatkan sebagai pemenang pada malam anugerah yang diadakan secara langsung di Angkasapuri pada Sabtu.
Jadikan ibu dan ibu saudara inspirasi
Ketika ditemui , Qisha yang memenangi menerusi filem Magik berkata, dia bangga dengan kejayaaan ini dan sukar untuknya menggambarkan perasaan sebenar di sebalik kemenangan itu.
Rasa bangga dengan diri sendiri tetapi susah untuk saya gambarkan perasaan gembira saya atas kemenangan ini.
Saya sebak sebab tak jangka akan menang kerana merasakan calon lain lebih bagus dan layak daripada saya.
Bahkan saya tak terfikir untuk tercalon dalam kategori ini.
Qisha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui sidang media malam kemuncak FFM33 di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai permulaan karier lakonannya, Qisha yang baru berusia 12 tahun memaklumkan dirinya menjadikan ibu dan ibu saudaranya iaitu Amanda dan Haliza Misbun sebagai sumber inspirasi.
Saya mula berlakon sebab menginspirasikan ibu saudara saya dan juga ibu saya sendiri.
Waktu saya kecil, saya selalu ikut ibu jalani ‘shooting’ dan bila selalu ikut saya jadi macam minat.
Dan bila saya dapat saja ‘first job’ ketika berusia empat tahun, saya buat dalam keadaan yang semangat gila.
Pentingkan pelajaran
Ketika ditanya pendapatnya mengenai kerjaya dan pendidikan, anak saudara kepada Haliza Misbun ini berpendapat setiap individu yang masih cilik dan menanam impian untuk menjadi pelakon tetap perlu mengutamakan pendidikan.
Buat mereka yang menanam impian nak jadi pelakon, pada pendapat saya dahulukan ilmu terlebih dahulu.
Dalam masa yang sama, solat serta ilmu itu jangan pernah dilupakan dan tetap kena bersekolah.
Sekadar info, Qisha berjaya menewaskan empat lagi calon lain iaitu Joanne Marissa (Filem Agrinai), Nur Qistina Raisah (Filem Rahsia), Shamsul Danish (Filem Eva) dan Syed Muhammad Baqir (FIlem Memoir Seorang Guru) untuk merangkul trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM 33.