Pasangan duo beradik, Shiha dan Ieda Zikir tidak dapat menahan sebak ketika membuat persembahan di pentas Famili Duo minggu keempat.
‘Tribute buat arwah..’
Ketika ditemui , Shiha atau nama lengkapnya Nurshiha Mohd Zikir mengakui bukan mudah untuk dirinya dan kakak, Ieda Zikir untuk menampilkan persembahan yang penuh emosi dengan mengetengahkan konsep ‘tribute’ buat arwah bapa dan abang iparnya.
Ini adalah tribute khas untuk arwah abah yang saya sangat rindu dan arwah abang ipar, Majed Salleh. Minggu ini agak susah untuk kami berdua sebab waktu rehearsal bukan dekat pentas je tapi di studio pun kami akan menangis.
Sementara itu, Ieda juga memaklumkan bahawa emosinya sememangnya sudah sedia terganggu sebelum mereka memulakan persembahan lagi namun Shiha telah memberi kekuatan dan kata-kata semangat untuknya.
Masa nak naik pentas tadi pun saya masih menangis lagi sebenarnya dan lemah tapi Shiha yang bagi semangat.
Tak nafikan, memang susah sangat nak kawal emosi. Sebab dalam masa kami kena sampaikan nyanyian dan melakukan beberapa langkah dalam persembahan.
Sementara itu, pelantun lagu Angan itu mendedahkan bahawa gandingannya bersama kakak di atas satu pentas adalah antara impian Allahyarham bapa dan abang iparnya.
Sekadar info, Shiha kehilangan bapa tersayang, Mohd Zikir pada tahun 2008 dan disusuli pemergian abang iparnya (suami Ieda), Majed Salleh pada tahun 2023.
Dihoskan Sharif Zero dan Janna Nick, Famili Duo Ke-4 bersiaran langsung dari studio NTV7, Glenmarie Shah Alam dan dipancarkan terus di TV3, Ahad jam 9 malam.