Pelakon Redza Rosli kelihatan menangis semasa sesi mohon restu bersama ibunya sebelum majlis akad nikah berlangsung, sebentar tadi.
Pegang tangan ibu
Redza yang berada di dalam sebuah kereta berwarna kuning kelihatan memegang erat tangan ibunya sebelum majlis akad nikahnya berlangsung di Forest Valley Hall, Cheras.
Menerusi video yang dikongsikan, ibu Redza kelihatan memberi kata-kata semangat buat anak lelakinya itu.
Tidak dapat menahan sebak, Redza dilihat beberapa kali mengesat air matanya. Maklumlah, selepas ini dia akan memikul tanggungjawab yang baru.
Pada pukul 4.05 tadi, Redza sah bergelar suami kepada pelakon baharu, Bella Hanna.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Bella sendiri, Rosman Abdullah dan disaksikan oleh Jurunikah, Ustaz Mohd Mustaqim Mujahidin.
Redza atau nama sebenarnya Ahmad Redza Rosli, 32, menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai berjumlah RM3,000 manakala wang hantaran dirahsiakan.
Pada majlis sama, pelakon drama Rindu Yang Terindah turut memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh daripada pihak Bella.
Majlis bertemakan warna putih itu diadakan secara sederhana di Forest Valley Hall, Cheras, dengan dihadiri oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
Antara rakan selebriti yang memeriahkan adalah Adam Lee, Sweet Qismina, Datin Intan Najuwa, Erysha Emyra, Zamarul Hisyam, Diana Rafar, Datin Elvina.
Sekadar info, Redza dan Bella atau nama sebenarnya Farhana Nabila, 28, pernah bergandingan dalam satu drama Luruhnya Bunga Cinta yang ditayangkan di TV3.