Pelakon yang juga merupakan nenek kepada bekas ahli kumpulan Dolla, Syasya Rizal iaitu Rozie Othman meluahkan rasa syukur dengan cucunya itu yang kini berimej sopan.
Doa di Tanah Suci termakbul
Menerusi temu bual bersama Melodi, pemilik nama Rasnah Othman ini menyifatkan doanya sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dimakbulkan Allah SWT.
Masa dia nak nikah itu, saya sebulan berada di Tanah Suci di bulan Ramadan.
Saya doa kalau Syasya nak cipta nama pun, minta dia tukar penampilan, tak ada seksi dan nampak kewanitaan.
Dan mungkin Allah makbulkan dan sekarang dia pun dah berhijab dan terpaksa keluar daripada kumpulan dia.
Dalam pada itu, pelakon berusia 61 tahun ini memaklumkan dia berasa sedih apabila sering digasak dengan soalan mengenai penampilan cucunya itu sebelum ini.
Menurut Rozie, dia sering menasihati Syasya untuk tidak tampil dengan imej yang terlalu menjolok mata dan mahu cucunya untuk tampil dengan gaya yang lebih ayu.
Daripada dulu lagi, wartawan datang tanya saya kenapa penampilan Syasya begitu dan begini? Saya tiada apa nak komen.
Setiap kali saya jumpa Syasya saya akan cakap, ‘Mommy tak nak dia seksi begitu dan begini’. Dia pun mesti tak nak dengar nenek dia membebel.
Saya memang minta (doa) dan sebut nama Syasya di Tanah Suci, agar penampilan dia tak menjolok mata lagi.
Saya kalau boleh nak dia nampak ayu sikit, walaupun dia tak nak bertudung lagi.
Dan mungkin Allah makbulkan jadi Allah tarik satu benda namun dia berikan lain yang terbaik pula.