Tindakan penyanyi Zubir Khan berkongsi foto yang menunjukkan dirinya masih memiliki kedua-dua tangan telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada warganet sehingga ada yang dia belum dapat menerima hakikat.
‘Saya mimpi masih ada tangan’
Ketika ditemui , Zubir atau nama lengkapnya Muhammad Zubir Muhammad Ali, 25, menjelaskan bahawa dia bukanlah tidak terima apa yang berlaku kepada dirinya tetapi hanya merindui tangan kanannya yang putus sejak dia berusia empat tahun.
Dalam pada itu, Zubir juga sempat berkongsi kisah di mana dia pernah bermimpi dirinya masih memiliki tangan kanan meskipun akur sudah reda dengan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT.
Saya bermimpi masih ada tangan dan bergaya macam orang lain. Saya rindu sebenarnya. Bagi saya, selain manusia, tiada salahnya untuk kita merindui perkara lain termasuklah tangan sendiri.
Saya bukan tak bersyukur tapi saya bersyukur sangat. Di dunia ini kalau Allah SWT ambil sesuatu, Dia akan gantikan dengan yang lain.
Dulu saya pernah anggap tangan saya tidak berguna, tapi sekarang saya tak rasa benda tu, Sekarang saya boleh buat banyak perkara termasuk memandu dan bonceng motor.
Zubir berkata demikian ketika ditemui pada acara House Party XO House yang diadakan di Mutiara Damansara, pada Jumaat.
‘Kita tidak boleh puaskan hati semua’
Tambah pelantun lagu Yennode Macha itu lagi, disebabkan kerinduan itu dia membuat keputusan untuk berkongsi foto yang disunting oleh peminatnya.
Kalau ada yang anggap saya tidak bersyukur, terpulanglah. Kita tidak boleh puaskan hati semua.
Ada yang baik hati mahu suntingkan gambar seolah-olah saya ada sepasang tangan. Saya ucap terima kasih kepada individu itu.
Dalam perkembangan lain, Zubir memberitahu akan menghasilkan lebih banyak lagu yang mengetengahkan Bahasa Tamil selain memasang impian untuk melebarkan sayapnya di negara India.