Penyanyi terkenal Indonesia, Raisa sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan juara Masterchef Indonesia Ke-5 iaitu Stefani Harison yang mendakwa nasi kandar di Malaysia berpasir.
Makanan kegemaran
Ketika ditemui , Raisa atau nama lengkapnya Raisa Adriana memberitahu bahawa nasi kandar adalah salah satu daripada makanan kegemarannya.
Pelantun lagu Kali Kedua itu juga menyifatkan nasi kandar adalah antara makanan yang enak dan wajib dinikmatinya setiap kali berkunjung ke negara ini.
Mungkin semasa ke sini (Malaysia), mereka ke tempat yang salah. Bagi saya itu adalah makanan lokal yang wajib dicuba.
Saya tak setuju dengan kenyataan yang mengatakan ianya berpasir.
Bagi saya nasi kandar sangat sedap dan kalau saya ke Malaysia tak pernah tak makan nasi kandar.
Makan pun mesti pakai tangan, jangan pakai sudu dan garfu..tak afdal.
Raisa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Raisa Teristimewa yang berlangsung di Silverfox, Kuala Lumpur pada Rabu.
Hentikan pergaduhan
Dalam masa yang sama, penyanyi berusia 33 tahun tersebut turut menitipkan nasihat agar warganet menghentikan pertelingkahan antara Malaysia dan Indonesia di media sosial.
Janganlah kita mudah melagakan antara satu sama lain. Ada banyak hal yang positif, yang boleh kita menjalani bersama.
Pada saya ada lagi banyak perkara lain yang memerlukan perhatian dan tenaga kita. Jadi lebih baik kita tumpukan ke sana.
Terdahulu, Stefani dihujani dengan kecaman berikutan mengkritik makanan yang berasal dari utara Malaysia itu.
Dalam perkembangan lain, Raisa bakal mengadakan konsert ketiganya di negara ini pada 3 November depan, bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Tiket-tiket sudah pun dijual dan bagi anda yang ingin ke konsert Raisa sila layari ticket2u.my.