Meksipun berdepan dengan isu konsert A Night With Sumandak Stars: Ceritera Hatiku, namun penyanyi Stacy, tidak akan bermasam muka dengan Bella Astillah.
Perhubungan dengan Bella
Ketika ditemui , Stacy atau nama lengkapnya Ummu Shaikhah Stacy Anam memilih untuk bersikap profesional dan matang jika bertembung dengan Bella walaupun berlaku konflik tentang konsert berkenaan.
Macam Bella pun pusing-pusing akan jumpa juga dan kami sama-sama orang kampung. Jadi tak berbaloi untuk bergaduh.
Buat masa ini masing-masing masih sibuk, saya rasa kalau berjumpa pun mustahil nak bermasam muka.
Lucu, sebab saya pun sudah tua dan dia juga begitu..ada anak juga. Jadi kami relaks-relaks sahaja.
Dalam masa yang sama, pelantun lagu Menggegar Dunia tersebut sangat bersyukur kerana suaminya Akim Ahmad serta peminat tidak putus-putus memberikan sokongan dan menghargai bakatnya.
Akim selalu memberi kata-kata semangat kepada saya sampaikan saya tak ada ruang untuk rasa saya ini tidak baik.
Tambahan lagi, orang-orang di luar sana yang memberikan sokongan jadi ia membuatkan saya lebih fokus dalam berkarya.
Stacy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Semi Final Muzik Muzik 39 (SFMM39) hari kedua, yang berlangsung di Glenmarie, Shah Alam pada Jumaat.
Konsert solo
Sementara itu, ibu kepada tiga orang anak itu berkata dia bakal mengadakan sidang media khas untuk memaklumkan tentang konsert solonya secara terperinci.
Sebenarnya konsert ini dirancang sebelum ini lagi, saya berkongsi selepas lokasi konsert sudah ditempah dan dimuktamadkan.
Tetapi nanti akan diadakan sidang media untuk maklumat yang lebih mendalam.
Dalam pada itu, Stacy mengakui dia ada membaca kritikan yang diberikan oleh warganet namun tidak mengambil pusing dengan komen negatif.
Saya tak marah dan saya tak sedih, selama 16 tahun di dalam industri saya banyak belajar.
Dalam perkembangan lain, dua lagu hasil karya Stacy dan Akim berjaya mara ke AJL39 iaitu lagu Sengaja (Amir Masdi) serta Saksama (Akim & The Majistret).