Sudah 12 tahun bergelar anak seni, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz menerima dengan hati terbuka meskipun masih belum menerima pengiktirafan anugerah tempatan.
Belum ada rezeki
Ketika ditemui , Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, meskipun sudah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada tahun 2023 dan 2024 dia akan terus melakukan yang terbaik sebagai seorang pelakon.
Walaupun sudah dapat dua anugerah di luar negara, tapi saya rasa masih banyak lagi perkara perlu dipelajari.
Saya fikir bakat masih perlu diasah, malah ada banyak lagi yang saya perlu berikan terutama dalam industri lakonan tempatan.
Walau bagaimanapun, anggota kumpulan De Fam ini mengakui masih banyak perkara perlu ditambah baik untuk mencipta nama dalam industri lakonan tanah air.
Untuk di Malaysia, mungkin nama saya belum mencapai tahap dibanggakan. Di luar negara, orang sudah mula mengenali, tapi saya tidaklah menjangkakan apa-apa.
Bagi anugerah tempatan, ada juga nama saya terselit dalam pencalonan, tapi mungkin belum ada rezeki. Bagaimanapun, itu bukanlah perkara yang saya kejar dan tetapkan.