Penyanyi Shiha Zikir menyifatkan Zazleen seorang penyanyi yang unik.
Kita kena hargai
Menerusi temu bual bersama , Shiha berharap netizen dapat memberi sokongan terhadap Zazleen sepanjang penglibatannya dalam program Calpis Soda One In Million. Ini kerana, tone suara Zazleen sangat unik dan jarang didengar di tanah air.
Tambah Shiha, minggu ini dia sangat teruja kerana bakal berduet dengan Zazleen dalam pertandingan tersebut. Ujar Shiha, mereka akan menyanyikan lagu arwah Siti Sarah iaitu ‘Jangan Kau Mimpi’.
Sejak ujibakat CSOIAM lagi saya minta dan berharap dia dapat. Suara dia unik .Sepatutnya orang macam ini kita kena menghargai. Tone suara macam ini jarang didengar di Malaysia. Selalunya ada di luar negara. Apa salahnya kita angkat suara macam ini dan beri sokongan.
Menurut Zazleen pula, dia berasa gembira kerana dapat berduet dengan sahabat baiknya, Ahad ini. Jelas Zazleen, dia sudah lama mengenali Shiha. Oleh sebab itu, mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan keserasian.
Secara jujur dah kenal dia lama, bukan zaman nasi ayam sekarang. Zaman dia meniaga contact lens lagi. Jadi nak dapatkan keserasian tu senang.
Zazleen yang ditemui selepas sesi latihan bersama Shiha di Cheras, semalam, turut menjawab dakwaan netizen berhubung persembahannya dikatakan sama setiap minggu dan tiada ‘wow factor’.
Orang kata sama sahaja tak ada peningkatan? Saya rasa banyak lagi peserta lain yang sama. Minggu pertama saya bawa lagu orang putih, minggu kedua broadway, minggu ketiga lagu Kak Ogy. Kau ingat senang lagu tu nak bawa bertanding. Minggu keempat gelombang, perasaan kena sedih. Minggu lepas rock pula. Saya rasa karakter yang dibawa setiap minggu berbeza.
Saya tak simpan apa-apa senjata. Cuma setakat ini saya tak dapat lagu yang betul-betul kena dengan jiwa. Sebagai contoh lagu-lagu dari Amy Winehouse, lagu Seperti Mati Lampu. Saya antara peserta yang dah cuba macam-macam genre dan paling banyak sahut cabaran. Siap menari atas pentas.
Di akhir temu bual, Zazleen bersyukur kerana masyarakat sudah mengenali dirinya.
Walaupun ada yang kata saya sekadar tempelan untuk memeriahkan konten program ini, saya tak terasa hati. Lagipun saya dah tunggu benda ini lama. Bila saya jadi diri sendiri baru orang nampak. Kalau orang bercakap tu kiranya orang nampak.
Semua peserta ada kisah sedih masing-masing, tapi mereka nampak dan ingat kisah saya. Saya rasa itu satu keistimewaan untuk saya.