Baru sahaja seminggu lepas heboh Nasi Kandaq Fest kena serbu di Sunway Putra Mall, kini satu lagi acara dianjurkan oleh FriedChillies dan Sunway Putra Mall. Dengan bertema ‘makanan viral’, TOP VIRAL FOOD FESTIVAL berlangsung selama 3 hari mulai hari ini.
Kali ini mereka mengabungkan pelbagai makanan viral di media sosial dari brisket yang lembut ke donut-pizza yang mengiurkan.
“Sejak kebelakangan ini, memang tak boleh dinafikan yang pelbagai makanan yang inovatif telah dihasilkan dan dijual melalui media sosial- pandemik ini telah memberi orang masa untuk berkarya dan juga mencari rezeki alternatif untuk menampung hidup,” kata Adly Rizal, CEO FriedChillies.
“Kami jangka pengunjung acara ini adalah dari golongan muda dan juga yang berkeluarga kerana selain dari makanan yang hebat-hebat kami juga ada merancang aktiviti-aktiviti yang pasti akan menghiburkan semua.”- tambah Adly lagi.
Pada hari-hari acara, akan ada buskers dan juga pertandingan makan Man Vs. Food. Satu Pertandingan Cosplay Pose akan berlangsung dan lebih kurang 500-1000 peminat cosplay dijangka akan datang untuk bertanding dan menonton. Panel juri pertandingan ini terdiri daripada cosplayer-cosplayer lejen seperti Mr. Azamcos (The Ultimate Cosplayer), Mr. Din (LoL Cosplay) dan Mr. Adam John.
Vendor-vendor yang akan berada di Top Viral Food Festival ini terdiri daripada pengusaha F&B yang sedang hangat di media sosial dan diminati penggemar makanan dan mereka yang selalu memantau trend terkini.
Bayangkan kesemua vendor ini di bawah satu bumbung, pengunjung hanya perlu datang ke satu tempat sahaja dan menikmati semua juadah yang tersedia dengan cara santai. Antara nama-nama yang pasti orang akan kenali adalah Beard Brothers BBQ, TanjakCrew, Suka Dessert dan Donut Viral Opah yang seringkali jadi sebutan ramai sejak tahun 2021.