Pelakon dan usahawan Tya Arifin membuat kejutan kepada ibu bapanya apabila pulang empat hari lebih awal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka di kampung halamannya di Indonesia.
Sambut Syawal pertama di Indonesia
Menerusi video yang dikongsikan di Youtube, Tya atau Nurtria Wulandari Arifin, 30, akui sangat teruja menyambut hari raya pertama di kampung halamannya bersama keluarga tercinta selepas 9 tahun mendirikan rumah tangga.
Tahun ini sangat istimewa kerana pertama kali saya sambut hari raya pertama di Indonesia selepas 9 tahun mendirikan rumah tangga.
Menjelaskan perkara itu, Tya memberitahu bahawa sebelum ini dia ada pulang menyambut hari raya Aidilfitri di Indonesia tetapi bukan pada hari raya pertama sebaliknya pada Syawal ketiga atau keempat.
Dalam pada itu, Tya sempat berkongsi beberapa perbezaan sambutan hari raya Aidilfitri di Malaysia dan Indonesia.
Takbir raya di Jakarta, Indonesia berlaku sepanjang malam sehingga 2 hingga 3 pagi. Itu satu perbezaan. Di Malaysia mungkin sehingga jam 11 malam sahaja.
Kalau beraya di Indonesia jangan terkejut tengok orang ramai berdiri di luar rumah kerana mereka bergambar di situ.
Sementara itu menjawab pertanyaan netizen yang rata-ratanya kasihan melihat Tya yang sudah lama tidak pulang beraya di Indonesia, isteri kepada usahawan Asyraf Khalid memberitahu bahawa dia tidak meletakkan sebarang harapan kerana faham tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Ramai yang kasihannya Tya sebab tak balik beraya tapi bagi saya, beraya di mana pun sama sahaja. Selepas berkahwin pun, saya tahu keutamaan dan tanggungjawab saya adalah kepada suami.
Saya pun tidak menaruh harapan untuk selang seli balik beraya. Tapi kalau dapat kesempatan beraya di Indonesia, mestilah saya gembira.