Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah membabitkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang.
Vivy dan Fadza mengaku tak bersalah
Vivy dan Fadzaruddin didakwa melakukan pecah amanah dengan melakukan transaksi sebanyak RM8 juta di Bukit Damansara pada tahun 2018.
Vivy dan Fadzaruddin dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang bertindak selaku Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mencadangkan jaminan RM100,000 ke RM200,000 setiap seorang dengan setiap seorang penjamin warganegara Malaysia.
Wan Shaharuddin juga mengemukakan syarat tambahan di mana kedua tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Putrajaya.
Kami mohon kedua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing kepada mahkamah dengan alasan bahawa kesalahan yang dilakukan adalah amat serius dan ada kebarangkalian ‘flight risk’.
Pasport harus diserahkan sebagai satu cagaran dan jika tertuduh nak mohon pasport atas sebab munasabah, mereka boleh memohon pada bila-bila masa dan tiada bantahan jika ianya munasabah.
Alami kekangan kewangan
Peguam yang mewakili Vivy dan Fadza iaitu Ashok Athimulan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai kekangan kewangan selepas akaun bank mereka dibekukan.
Tiada keperluan jaminan yang tinggi kerana kedua Orang Kena Tuduh (OKT) mengalami kekangan kewangan yang tinggi selepas aset kedua mereka dibekukan dan kini bergantung kepada ahli keluarga dan rakan.
Kekangan kewangan ini juga telah merencatkan perbelanjaan keluarga mereka yang mempunyai empat orang anak.
Hakim, Rosli Ahmad kemudiannya membenarkan Vivy dan suaminya diikat jamin sebanyak RM100,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Januari 2025 sebagai sebutan semula kes.
Vivy dan Fadza juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada pihak mahkamah.
@official Replying to @marksman902 SPRM menahan pasangan ini pada hari Selasa dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah pada hari ini. #fashionvalet #vivyyusof #pakai #putih ? original sound – OHBULAN!
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah melakukan menyiasat pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Pihak SPRM turut menyerbu FashionValet, dan menurut sumber, selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB.
Imbas kembali, Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta.
Ia merupakan hasil penjualan pegangan minoriti dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet Sdn Bhd.
Vivy dan Fadza kemudiannya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan mereka di dalam syarikat FashionValet menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram (IG).
Vivy dan Fadza juga mengakui kesilapan yang telah dilakukan sekaligus mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan berkenaan.