Pemenang trofi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang diadakan baharu-baharu ini, Khai Bahar, sekali lagi berpadu suara dengan penyanyi wanita tanah air, Wany Hasrita dalam single terbaharu berjudul “Berbagi Hati” hasil ciptaan komposer berpengalaman, Amylea, terbitan label rakaman terkenal tanah air, Sony Music Malaysia.
Lagu ini juga turut menjadi runut bunyi asli (OST) bagi drama bersiri “Berbagi Suami”, adaptasi drama “sinetron” dari seberang yang bakal ditayangkan pada 2 Disember 2024 ini, hasil kerjasama di antara Astro Prima dan Radiusone.
“Ini merupakan kali kedua saya bergandingan dengan Wany Hasrita secara ‘rasmi’ dalam sebuah single. Sebelum ini pun, saya sering berduet dengan Wany dalam pelbagai acara pentas sama ada di Malaysia mahupun Singapura.
Wany merupakan penyanyi seangkatan dengan saya kerana kami mula-mula menapak dalam industri muzik sekitar tahun 2016,” kongsi Khai
Menurut Wany, pelawaan dari pihak Sony Music Malaysia untuk berduet bersama Khai merupakan sebuah penghargaan besar buat dirinya yang kini bergerak solo.
“Sejujurnya saya sangat berterima kasih buat Sony Music kerana sudi bekerjasama dengan saya untuk menghasilkan single ini. Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menyanyikan karya ciptaan insan-insan hebat,
ditambah pula dapat berkolaborasi dengan rakan seni yang mempunyai nama besar seperti Khai Bahar dalam industri muzik kita. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami ‘berbagi hati’ di tahun 2024 ini.”
Lagu “Berbagi Hati” yang dicipta dalam nuansa balada ini mengisahkan tentang hubungan pasangan kekasih ataupun suami isteri yang terikat dengan kenangan silam, masing-masing dibayangi sejarah cinta lalu dan cuba berjuang demi cinta yang baharu.
Namun apakah mereka boleh bahagia? Inilah mesej yang cuba disampaikan melalui lagu ini, kompleksiti dalam percintaan, perjuangan emosi dan keinginan untuk bahagia semula.
Lagu “Berbagi Hati” kini sudah berada di kesemua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox dan Spotify. Manakala muzik video (MV) single ini telah dilancarkan pada tarikh 29 November 2024 secara eksklusif di YouTube sonymusicMYVEVO.