Penampilan dua pelakon cantik, Mimi Ernida dan Reen Rahim mencuri perhatian apabila rupa paras dan raut wajah mereka dikatakan seakan sama oleh rata-rata peminat.
Reen & Mimi dah lali
Rupa paras yang hampir sama itu telah membuatkan ramai yang menganggap kedua aktres jelita ini mempunyai pertalian kekeluargaan.
Terbaharu, foto perkongsian Mimi dan Reen di Instagram (IG) telah mencuri perhatian dan meraih lebih 16,000 tanda suka serta lebih 620,000 tontonan di TikTok.
Menurut Mimi, ramai yang terkeliru mengatakan dirinya adalah Reen dan begitulah sebaliknya kepada Reen.
Ramai sangat yang keliru antara kami berdua. Kalau saya buat siaran langsung di TikTok dan mula memanggil nama saya dengan nama Reen Rahim.
Begitu juga komen di video-video saya, orang komen nama Reen. Pernah juga di luar, peminat menegur saya dengan nama Reen dan mahu mengambil foto bersama saya.
Walau bagaimanapun, Mimi atau nama lengkapnya Nor Shamimi Ernida Mansor mendedahkan dirinya dan Reen tidak pernah bergandingan dalam mana-mana karya seni sejak berkenalan sejak sembilan tahun lalu.
Kali pertama kami berjumpa 2016. Sampai sekarang kami baik.
Walaupun jarang jumpa dan tidak pernah berlakon dalam satu naskhah yang sama, saya tahu Reen adalah kawan yang selalu ada untuk saya. Jika berjumpa tu, ada macam-macam cerita yang kami kongsikan.
Ada perbezaan ketara
Sementara itu, Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim memaklumkan dirinya dan Mimi tetap ada perbezaan yang ketara meskipun ramai yang sering tersilap.
Ramai peminat keliru antara saya dah Mimi. Tapi sebenarnya, kami berbeza.
Mungkin ada beberapa bahagian wajah nampak seiras, tapi tona kulit Mimi lebih cerah berbanding saya. Mimi lebih manis, sedangkan saya pahit.
Dalam pada itu, Reen mengakui dia turut selesa berkawan dengan Mimi dan berkongsi pelbagai cerita.
Sejak saling berkenalan, kami memang ngam. Kami tak selalu berjumpa tapi apabila kami bertemu, memang kami sering berkongsi perkembangan seperti teman baik.
Kami bercerita hal kehidupan, kerjaya, bisnes dan banyak lagi. Saya boleh katakan Mimi memang kawan yang baik.
Dalam perkembangan lain, Reen dan Mimi bakal berkolaborasi dalam satu kempen yang bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada wanita tentang kepentingan menjaga kesihatan dalam dan luaran, selain peluang menjana pendapatan.
Insya-Allah, kami bakal muncul dengan kolaborasi istimewa yang bermatlamat untuk menzahirkan versi terbaik diri secara dalaman dan luaran.
Memandangkan kami berdua kini sedang berjinak dalam bidang bisnes, kami mahu membantu wanita di luar sana menjana pendapatan.
Kami mungkin dua individu berbeza, tapi hasrat dan misi kami sama. Mahu membantu ramai orang di luar sana, terutamanya wanita. Nantikan pengumuman istimewa kami di platform media sosial masing-masing Insya-Allah.