Umur dan rezeki adalah rahsia Allah SWT. Namun, ia suatu yang pasti seperti diyakini seluruh manusia sekalipun yang berfahaman ateis.
Tua menjanjikan fasa kehidupan berbeza kerana kekuatan fizikal, nafsu dan produktiviti semakin menyusut.
Justeru, masa tua sewajarnya diisi aktiviti bersifat pengabdian diri kepada Allah SWT sebagai persediaan. Ini kerana kejayaan hakiki mukmin yang berakidah adalah kejayaan di alam akhirat.
Meskipun masih aktif dalam karier nyanyian, namun Datuk Nash meluahkan tetap mengutamakan ibadah yang disifatkan sebagai bekalan akhirat untuk dibawa menghadap Allah SWT suatu hari nanti.
Penyanyi juga vokalis kumpulan Lefthanded ini berkata, dia bersyukur kerana sudah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menunaikan haji pada 2017 serta sudah beberapa kali mengerjakan umrah termasuk ketika Ramadan.
“Pada usia ’emas’ begini, saya suka meluangkan masa menghadiri majlis ilmu dan keagamaan sekalipun masih aktif dalam karier seni. Bagi saya, nyanyian diteruskan selagi masih ada rezeki dan atas permintaan peminat.”
“Bagaimanapun, pembabitan saya dalam program keagamaan untuk mengumpul bekalan diri di akhirat dan saya bersyukur apabila Allah berikan rezeki sebagai duta untuk program umrah pada Ramadan tahun depan
“Saya gembira mendapat peluang lagi untuk menjalani ibadah puasa di Tanah Suci dan kali ini berada selama 40 hari mulai awal Ramadan sehingga meraikan Aidilfitri di sana.”
Menurut penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu ini, sesiapa yang pernah mengerjakan umrah ketika Ramadan sudah tentu ada keinginan ke Tanah Suci sebagaimana dirasakannya demi meningkatkan amalan ibadah diri sendiri.