Bukan sahaja berbakat dalam nyanyian, penyanyi Tomok kini boleh berbangga dengan dirinya selepas berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Menurut Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, kejayaan tersebut diharap dapat menyuntik motivasi buat semua pihak sama ada rakan artis untuk terus menimba ilmu tanpa mempedulikan faktor usia.
“Saya memulakan pengajian pada tahun 2015 secara jarak jauh dan selesai pada tahun 2020.
“Kemudian, disebabkan virus Covid-19, majlis konvokesyen kami terpaksa ditangguh namun akhirnya berjaya berlangsung pada minggu lalu.
Vokalis kumpulan New Boys itu juga mengakui pernah berasa was-was untuk menyambung pengajian ke menara gading kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dengan baik.
“Pada awalnya tidak yakin dengan kemampuan diri tetapi atas sokongan ramai, akhirnya saya berjaya dan memang rasa sebak sangat.
“Kejayaan ini cetuskan hasrat untuk sambung pengajian di peringkat Sarjana (master) dan fasa lebih tinggi, insya-Allah,” katanya lagi.
Dia juga turut berharap kejayaannya itu menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya bahawa pendidikan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan hari ini.
“Bagi saya, tidak kiralah kita ini artis atau kerja apa pun, pendidikan boleh menjadikan kita insan yang lebih baik.
“Tidak wujud istilah lambat nak sambung belajar walaupun usia sudah bertambah,” tuturnya.
Selain Tomok, antara rakan artis yang turut bergradusi pada majlis konvokesyen tersebut ialah Pekin, Aril Pilus, Raja Mukhriz dan Akma AF.