Di TikTok, seorang wanita mencuri perhatian apabila mendakwa dirinya diintai pemilik rumah inap (homestay) ketika sedang bercuti bersama keluarganya di Kota Bharu, Kelatan, baru-baru ini.
Owner letak kamera di tandas?
Menerusi perkongsian dibuat wanita yang dikenali sebagai Faten Wahida, tiada sebarang masalah yang dihadapi sewaktu tiba di rumah berkenaan selepas tersangkut 18 jam di dalam kesesakan lalu lintas.
Namun begitu, pengalamannya di rumah inap desa itu mula berubah ketika dirinya tinggal bertiga bersama ibu bapa tatkala ahli keluarganya yang lain keluar pergi mencari barang di Wakaf Che Yef.
Masa aku nak pergi tandas, biasalah nak kencing dan segarkan badan selepas seharian keluar.
Masa masuk tandas, terdetik nak tengok tingkap tandas, tiba-tiba aku ternampak benda pelik di tingkap.
Dakwa wanita itu, sewaktu dia mahu membersihkan diri di tandas rumah inap desa tersebut, dia mendapati terdapat kamera telefon bimbit diletakkan tingkap tandas.
Bukan itu sahaja, dia juga mendakwa terdapat individu yang tidak dikenali telah mengambil gambarnya dalam keadaan tidak sopan.
Wanita itu kemudiannya menjerit memanggil ibu dan segera menelefon abangnya dan memaklumkan mengenai kejadian itu.
Abang aku pula telefon pemilik rumah itu cakap ada orang mengintai aku di tandas.
Iyalah, pemilik rumah tu berada di sebelah homestay kitaorang sahaja.
Kamera telefon milik tuan rumah?
Selepas abang wanita itu mengadu mengenai kejadian itu, pemilik rumah inap berkenaan juga memberikan reaksi terkejut dan menjelaskan bahawa perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Namun dakwa wanita itu lagi, kamera belakang milik tuan rumah berkenaan dengan kamera gajet yang diletakkan di tingkap tandas adalah sama.
Lepas itu, abang aku terus periksa telefon dia tapi dia dah padam awal-awal takut kantoi lah itu.
Aku pun apa lagi, minta tengok kamera belakang dia, ‘Hah, kan betul sama’.
Memang dia tak ada orang lain dan reaksi dia pun dah lain masa itu. Nampak sangat takut dan menggeletar.
Tuan rumah psiko?
Sungguh pun begitu, dakwanya, tuan rumah itu dilihat tidak mahu mengaku perbuatan yang dilakukan.
Dia masih tak nak mengaku waktu ini. Mak aku tanya, ‘Demi Allah awak tak buat?’
Dia tukar topik lain. Asyik ulang bisnes dia sahaja.
Aku ni bukan nak tutup periuk nasi dia, aku tahu dia pun cari rezeki melalui rumah itu. Tapi janganlah sampai tangkap gambar orang di tandas.
Bukan itu sahaja, wanita berkenaan turut mendakwa tuan rumah tersebut merupakan seorang yang ‘psiko’ apabila berkali-kali menelefon abangnya memberitahu dirinya tidak boleh tidur memikirkan kejadian yang berlaku.
Di akhir hantaran, wanita itu menitipkan pesanan kepada orang ramai untuk berhati-hati dan membuat carian terlebih dahulu sebelum membuat tempahan rumah inap desa.