Seorang wanita di Brazil ditahan pihak polis selepas tindakannya membawa mayat seorang lelaki yang dipercayai merupakan bapa saudaranya ke sebuah bank berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Tipu nak buat ‘loan’
Memetik laporan TMZ, wanita yang bernama Erika de Souza Vieira Nunes itu dilihat membawa bapa saudaranya yang sudah tidak bernyawa ke dengan menggunakan kerusi roda ke sebuah bank yang terletak di Rio de Janeiro.
Difahamkan wanita berusia 42 tahun itu mahu membuat pinjaman sebanyak $3,400 (RM16,292.80) dengan menggunakan tandatangan bapa saudaranya itu.
Menerusi rakaman CCTV, Erika dilihat menipu dengan cuba berinteraksi dengan bapa saudaranya yang jelas kelihatan pucat sambil memegang kepalanya yang terlentok.
Pihak bank terus menghubungi pihak polis melaporkan kecurigaan mereka terhadap perbuatan Erika.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian bertindak menahan Erika sebelum menghubungi pihak hospital dan mengesahkan lelaki di atas kerusi roda tersebut sudah pun meninggal dunia.