Seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher dipercayai dibunuh dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota, petang Rabu.
Disyaki dibunuh
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 28 tahun itu dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui oleh ibu mentuanya kira-kira jam 7.30 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mangsa yang sudah berkahwin itu dipercayai tinggal bersama suaminya warga China, anak lelaki berusia tiga tahun dan adik iparnya.
Pihak polis menerima laporan kehilangan mangsa oleh bapanya berusia 62 tahun (pengadu) kira-kira jam 3.25 petang pada Rabu.
Bapa mangsa yang bekerja sebagai peniaga mendakwa gagal menghubungi anak ketiganya itu selepas kali terakhir mereka berhubung melalui pesanan WhatsApp jam 8.30 pagi hari yang sama.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
Susulan penemuan mayat wanita itu, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami, bapa dan ibu mentuanya berusia 27 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.