Wartawan hiburan, Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin, 59, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.10 petang Sabtu.
Salam takziah
Berita pemergian Allayarham disahkan sendiri oleh adiknya Nur-ul Afida Kamaludin, 57, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama.
Terdahulu, keadaan arwah yang menderita kanser usus tahap empat dilaporkan kritikal dan semakin merosot.
Arwah sebelum ini terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Penderitaannya itu juga mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Huzz sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz di sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Arwah juga merupakan penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.