Kemajuan teknologi pada masa kini bukan sahaja membawa kebaikan kepada pengguna, tetapi juga mendedahkan masyarakat am kepada penjenayah siber.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) contohnya memberi peluang kepada penjenayah siber seperti scammer mempergunakan wajah dan suara orang lain untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.
Antara yang paling kerap menjadi mangsa kini adalah beberapa artis terkenal tanah air.
Usahawan selebriti Noor Neelofa mengingatkan orang ramai agar tidak menekan butang klik pada pautan dihantar sindiket pelaburan atas talian atau scammer dalam Instagram yang cuba memperdayakan wang menggunakan namanya.
Katanya, segala paparan artikel palsu dihantar pihak terbabit yang menyatakan dia berjaya meraih pendapatan lumayan hanya dengan klik pada pautan tersebut hanya mahu memancing mangsa.
“Kalau sesiapa baca ini, atau ternampak tajaan iklan serta berita dalam Instagram seperti saya tunjukkan ini, itu semua adalah adalah scam.
“Tolong jangan tekan link (pautan) dalam artikel itu, antaranya sebab temu bual itu cuma naratif mereka sendiri untuk menipu orang Malaysia.
Amaran yang dibuat isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu turut disertakan paparan artikel serta gambar palsu seperti didakwanya.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, itulah modus operandi digunakan scammer supaya orang tertarik dengan iklan mendapatkan wang menerusi cara mudah.
“Ramai orang tertipu sekarang dengan . Minta semua hati-hati dengan konten palsu seperti itu.
Sebelum ini, foto video dan suara Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor kerap dijadikan modal pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan menipu orang ramai.
Terbaharu, videonya digunakan untuk menjual dan mempromosikan pakaian dalam wanita sehingga dia menyelar tindakan scammer berkenaan sama seperti golongan terlaknat, Yahudi.