Pelakon dan model terkenal, Zahnita Wilson akhirnya membuka mulut berhubung gambar yang dimuat naik di Instagram memperlihatkan matanya yang lebam.
Dipukul suami
Memetik Mstar, Zahnita, 39, berkata, kecederaan itu terjadi disebabkan dia telah dipukul oleh suaminya, Abdul Zackery Ghouse.
Lebih parah lagi, aktres tersebut memberitahu, kejadian itu bukan pertama kali berlaku kerana dia sudah menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 20 tahun.
Saya sudah banyak kali dipukul dan sudah membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan. Malah tindakan itu berbalik kepada saya semula, saya jadi gila.
Dalam pada itu, Zahnita berkata segala usahanya untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina hanya sia-sia.
Tuturnya lagi, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan biarpun sebelum ini mereka hampir berpisah dan kemudian kembali berbaik semula.
Saya sudah cuba pertahankan rumah tangga ini. Saya juga pernah minta cerai tetapi dia menjanjikan langit dan bintang.
Tidak lama selepas itu, dia kembali buat perangai semula. Dia mengasari saya lagi, sudah 20 tahun bertahan, cukuplah.
Saya sedang tunggu wakil peguam datang ke KL untuk ambil tindakan seterusnya.
Mahu anak
Dalam pada itu, Zahnita berkata, dia terpaksa mendedahkan gambar wajahnya yang lebam kepada umum kerana mahu mengambil semula anak sulungnya yang sekarang bersama dengan suami sejak seminggu lalu.
Berkongsi lanjut, Zahnita berkata, punca pergaduhan berlaku disebabkan dia membangkitkan isu suaminya mempunyai hubungan sulit perempuan lain.
Saya mahukan anak, sudah seminggu lebih anak dengan dia. Tak tahu dia buat apa. Saya terpaksa buka aib, maaf saya sudah tidak boleh simpan lagi.
Untuk rekod, Zahnita pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami pada 2013.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata.