Penyanyi Zehra Zambri tidak sangka usahanya sepanjang minggu ‘Rockdut’ membuahkan hasil apabila berjaya menduduki tempat pertama dalam program Gegar Vaganza, minggu lalu.
Allah permudahkan segalanya
Menerusi temu bual bersama , Zehra berkata, setiap minggu semua peserta mahu melakukan yang terbaik. Tambah Zehra, dia bersyukur kerana minggu ini rezeki berpihak kepada dirinya.
Alhamdulillah, rezeki daripada Allah saya dapat nombor satu minggu Rockdut. Saya macam tak sangka. Minggu ini saya melakukan latihan dengan abang Bob Yusof. Saya tak tahu yang saya boleh buat rock sebegitu. Abang Bob ingatkan saya jangan playsafe. Lagu dipilih oleh abang Bob. Pada mulanya saya harap lagu slow rock. Abang Bob kata jangan, nanti saya tak akan menyerlah. Dia kata saya akan nampak bertenaga kalau lagu tersebut agresif.
Disoal bagaimana boleh mendapat tenaga yang luar biasa ketika melakukan persembahan, Zehra memberitahu dia mendapat sokongan daripada ahli keluarga termasuk props api yang diberikan oleh pihak produksi.
Allah permudahkan segalanya. Persembahan saya dapat tenaga daripada api yang keluar di pentas dan juga sokongan daripada keluarga.
Berbicara lebih lanjut, Zehra mengakui dia berasa sedikit tekanan untuk memastikan kedudukannya dalam program tersebut.
Saya dah dapat rasa tekanan tu. Minggu lepas tiga teratas dan minggu ini pula nombor satu. Juri mesti harap yang lebih. Tambahan minggu hadapan saya dapat lagu bergenre pop. Kena duduk bincang dengan abang Bob. Harapa dapat teruskan momentum sebab semua orang nak jadi finalis.
Fasa kejatuhan yang sangat teruk
Sementara itu, , sempat bertanya kepada Zehra mengenai rakaman videonya sebelum melakukan persembahan. Jelas Zehra, dia pernah melalui fasa kejatuhan yang sangat teruk.
Kita dalam hidup ini kadang-kadang terlalu percaya pada orang dan terlalu baik sehingga ada yang ambil kesempatan. Saya banyak kali alami kegagalan dalam hidup. Kawan fake ambil kesempatan. Bila kita di bawah semua lari, bila kita di atas semua nak datang.
Selepas saya bercerai, saya ambil masa untuk mencari kehidupan saya semula. Sebelum ini sibuk bekerja dan ada fasa jatuh juga sehingga saya mengalami tekanan. Mereka pernah angkat saya, tiba-tiba bakat saya mereka tak nampak.
Saya pergi kerja dalam keadaan tekanan. Tetapi tetap teruskan sebab niat nak cari rezeki untuk anak saya. Saya ditempatkan di unit yang bukan menunjukkan diri saya. Saya pergi kerja tiada siapa nak kawan. Saya pun tak nak jumpa orang. Saya bawa bekal sendiri. Saya menangis dulu sebelum pergi kerja. Sampai satu tahap, Allah bagi balik saya bekerja sebagai penyanyi.
Di akhir temu bual, Zehra turut mengakui dia banyak menyusahkan ibu bapanya.
Saya anak perempuan tunggal dan yang lain semua lelaki. Saya akui saya anak paling dimanjakan. Di awal kerjaya, bapa saya pernah bawa keluar RM100 ribu untuk album saya. Mereka bawa saya pergi bertanding di mana-mana sahaja sebab tahu saya ada bakat. Apabila dah kahwin pun mereka masih susah hati. Saya tak sembunyi apa-apa dari mereka. Anak-anak saya pun mereka yang jaga sepanjang GV.