Nama Dato’ Ustaz Kazim Elias sememangnya cukup dikenali ramai sebagai seorang pendakwah dan penceramah bebas. Malah, kisah beliau yang pernah berhadapan dengan penyakit misteri turut mendapat liputan pelbagai pihak.
Maka, ia telah memberi inspirasi kepada syarikat produksi Mawi World Entertainment untuk mengangkat kisah berkenaan menjadi sebuah filem berjudul Zim Zim Ala Kazim.
Kongsi tentang penyakit misteri
Menurut penerbit dan pengarah, Mawi, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula menerusi perjumpaan dengan dengan Ustaz Kazim.
Ketika berjumpa kami berborak dan beliau telah berkongsi tentang kisah penyakit misteri yang dialaminya itu. Ia adalah satu kisah mistik dan sebenarnya apa yang dilalui Ustaz Kazim itu, saya juga pernah melalui keadaan yang lebih kurang dengan beliau.
Tambah Mawi, setelah perkongsian kisah berkenaan, akhirnya dia meminta kebenaran untuk menghasilkan sebuah filem yang mengangkat cerita tentang pengalaman yang dilalui pendakwah berkenaan berhadapan penyakit misteri.
Ujar Mawi lagi, dia berasa lega apabila Ustaz Kazim lantas memberikan persetujuan untuk penghasilan filem berkenaan.
Kalau diikutkan tidak sukar untuk saya meyakinkan beliau. Dalam perjumpaan kali kedua, beliau ceritakan lebih mendalam dan pada perjumpaan kali ketiga saya turut membawa penulis skrip.
Berkenaan dengan jalan cerita pula, kira-kira 70-80 peratus adalah kisah benar yang dipaparkan. Selebihnya saya ada tokok tambah untuk pastikan penceritaannya lebih menarik.
Berkisarkan tentang sekumpulan pencari hantu yang sering melakukan aktiviti paranormal, filem kedua arahan Mawi itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Bell Ngasri, Anas Tahir dan Shanthesh Kumar selaku teraju utama.
Lebih menarik, filem itu turut menampilkan Ustaz Kazim sebagai ‘hero’ serta Mawi sendiri yang berlakon dalam naskhah baharunya itu.
Dalam pada itu, Mawi tidak menafikan bahawa pendakwah tersebut ada meletakkam syarat jika mahu kisahnya itu diangkat menjadi filem.
Syarat paling utama Ustaz Kazim sendiri mahu menjadi ‘hero’. Pada awalnya, saya dah ada pilihan untuk pegang watak beliau. Namun, beliau sendiri nak lakonkan watak dirinya.
Memang agak terkejut juga, namun saya kagum dengan keberanian beliau untuk berlakon dalam filem ini.
Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan filem berkenaan, Mawi memberitahu ia dibuat sekitar dua tahun lalu selama 15 hari di kawasan sekitar rumah Ustaz Kazim sendiri di Kampung Manjoi, Perak.
Ujar Mawi, sepanjang penggambaran ia berjalan lancar, namun mengakui ada berlaku beberapa kejadian mistik.
Ada satu masa itu ketika nak memulakan penggambaran, tiba-tiba penyakit Ustaz Kazim menyerang semula. Sehinggakan kulit beliau ada keluar darah. Apa pun situasi berkenaan dapat diatasi dengan baik.
Di akhir temu bual, Mawi berharap penonton terhibur dan dapat menerima apa yang ingin disampaikannya.
Mungkin ada yang suka atau sebaliknya, tetapi sebagai seorang pembikin filem, saya sedia menerima sebarang kritikan dan sudah biasa melaluinya. Untuk hasilkan filem ini bukanlah mudah, tambahan pula saya bertindak sebagai penerbit, pelakon dan pengarah.
Filem Zim Zim Ala Kazim akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 13 Jun 2024.