Pelakon dan pengacara versatil, Zulin Aziz, atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, 35, meluahkan rasa terkilan apabila sering kali disalah anggap sedang mengandung.
Namun begitu, Zulin memilih untuk menganggap situasi tersebut sebagai doa dan mengambilnya dengan hati terbuka.
“Sejujurnya, saya lebih kecil hati jika orang kata saya gemuk. Sekurang-kurangnya kalau mereka sangka saya berisi kerana mengandung, saya gembira. Saya anggap itu sebagai satu doa. Tak adalah rasa malu sangat bila berat badan dah naik,” kata Zulin.
Ditanya mengenai reaksi apabila ada yang menyentuh perutnya kerana menyangka dia berbadan dua, Zulin tidak kisah dan mengambilnya sebagai perkara kecil.
“Saya tiada masalah. Mungkin mereka teruja. Kadang-kadang mereka hanya nak mulakan perbualan. Saya pun jadi lebih semangat untuk buat anak,” selorohnya. Zulin juga menambah bahawa dia kadangkala membiarkan orang ramai dengan andaian mereka kerana tidak mahu mengecewakan mereka.
Dalam pada itu, Zulin turut berkongsi perkembangan kerjaya seninya yang agak lama menyepi. Bintang yang dikenali menerusi rancangan realiti Pilih Kasih itu kini membuat kemunculan semula dalam program Muzikal Lawak Superstar musim ke-4, bergandingan dengan Chiwan dan Niezam Jentik Jentik dalam kumpulan Zuara.
Menurut Zulin, Kak Shiera berjaya menyedarkannya bahawa dia telah lama berehat dari dunia seni dan perlu kembali sebelum terlambat.
“Program ini bukan berlangsung setiap hari. Rasanya ini juga masa yang sesuai untuk saya buat kemunculan semula. Takut kalau terlalu lama nanti orang akan lupa,” tambah Zulin.