Seramai 196 anggota dan pegawai polis ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Katanya dalam tempoh sama seramai 623 anggota dan pegawai polis ditahan kerja manakala 156 pula digantung kerja.
Menurut Razarudin lagi, bagi tempoh Jan hingga Okt lalu sebanyak 5,413 aduan diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan daripada itu 4,497 laporan membabitkan pegawai.
Razarudin berkata daripada jumlah itu, 2,841 (52.48 peratus) adalah aduan berkaitan salah laku di bawah kategori integriti.
“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga pasukan yang didapati terlibat dengan aktiviti salah laku yang boleh menjatuhkan nama baik serta maruah pasukan,” katanya ketika berucap pada majlis pengiktirafan tolak rasuah dan pelancaran Peraturan 3C sempena Sambutan Bulan Integriti di Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Razarudin mengingatkan semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia agar memainkan perananan masing-masing dengan menjalankan kawalan serta pemantauan ke atas pegawai dan anggota yang diselia.
Katanya berdasarkan prinsip akauntabiliti, penyeliaan dan pemantauan harus dilaksanakan dengan bertunjangkan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 sebagai mekanisme semak dan imbang.
Sementara itu, Razarudin berkata dia tetap yakin masih ramai anggota dan pegawai PDRM yang mempunyai integriti tinggi meskipun agensi penguat kuasa itu sentiasa terdedah dengan pelbagai tuduhan mahupun tohmahan yang mencabar kredibiliti PDRM.
– Bernama