Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberikan balasan kepada Pendaftar Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) berhubung permohonan untuk timbang tara pelaksanaan perjanjian penyelesaian antara Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Goldman Sachs Group, Inc (Goldman Sachs).
Dalam kenyataan malam tadi, AGC mengumumkan bahawa mereka juga telah mengemukakan salinan balasan tersebut kepada pihak Goldman Sachs.
Menurut kenyataan tersebut, tindakan ini adalah selaras dengan Artikel 2.1 Peraturan LCIA yang memperuntukkan bahawa Kerajaan Malaysia perlu memberikan balasan kepada Pendaftar Mahkamah LCIA dalam tempoh 28 hari dari tarikh Permohonan Untuk Timbang Tara tersebut difailkan.
“Pada 11 Oktober 2023, Goldman Sachs telah menyebut Kerajaan Malaysia sebagai Responden dalam satu Permohonan Untuk Timbang Tara yang difailkan di LCIA.
“Permohonan Untuk Timbang Tara tersebut adalah bagi mendapatkan pelbagai relif yang dikatakan berbangkit daripada pelaksanaan Perjanjian Penyelesaian bertarikh 18 Ogos 2020 yang dimeterai antara Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad dan Goldman Sachs,” jelas kenyataan itu.
AGC juga menegaskan komitmen mereka dalam memastikan kepentingan kerajaan sentiasa dilindungi dan terpelihara sepanjang prosiding berkaitan permohonan untuk timbang tara yang difailkan Goldman Sachs.
– Bernama