Polis Kelantan sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas empat anggotanya yang ditahan selepas disyaki membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan di lokap Mahkamah Kota Bharu pada 30 Oktober yang lalu. Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata sebelum ini keempat-empat anggota berpangkat koperal dan lans koperal berusia antara 25 hingga 33 tahun itu sudah direman selama tiga hari.
“Siasatan dalaman masih dijalankan dan polis akan ambil tindakan sementara untuk proses tahan kerja. Sekiranya benar bahan itu dibawa sama ada untuk kegunaan mereka atau untuk diedarkan, tindakan akan diambil di bawah kes jenayah iaitu mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bharu hari ini.
Susulan kes itu, Muhamad Zaki berkata pihaknya akan memberi penekanan kepada aspek penyeliaan termasuk mencari kaedah terbaik bagi ketua polis daerah dan jabatan masing-masing. “Jika berlaku apa-apa kesalahan, orang yang menyelia juga akan terlibat dan disebabkan itu kami amat menekankan agar pemantauan dilakukan oleh pegawai penyelia.
“KPN (Ketua Polis Negara Razarudin Husain) pada Ogos lalu menyeru semua pegawai dan anggota yang memegang jawatan sebagai penyelia dalam Polis Diraja Malaysia agar melaksanakan arahan ‘total enforcement’ (penguatkuasaan penuh) ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Tambahnya, kes seumpama itu pertama kali dikesan di Kelantan.