Seorang lelaki telah meninggal dunia manakala adiknya mengalami kecederaan melecur tangan dalam kebakaran yang berlaku di Felda Tersang Satu, Raub, pada awal pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, mengesahkan bahawa Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian apabila terjatuh di belakang rumah ketika cuba menyelamatkan diri.
Beliau memberitahu bahawa JBPM Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.42 pagi dan sebanyak 15 anggota dari Balai Bomba Raub dan Sungai Koyan telah diarahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 38 kilometer dari ibu pejabat.
“Ketika tiba di tempat kejadian, bomba dapati sebuah rumah sementara seluas 3,520 kaki persegi dan sebuah rumah tetap seluas 3,200 kaki persegi yang terletak bersebelahan sedang hangus terbakar,” katanya.
“Dalam insiden itu, Abd Shukur dilaporkan terjatuh di bahagian belakang rumah dan terkorban ketika cuba menyelamatkan diri manakala adiknya, Abdul Hadi Abdullah Suhaimin, 39 tahun, mengalami kecederaan melecur pada tangan,” tambah beliau.
Menurut Wan Mohammad Zaidi, anggota bomba dan pegawai perubatan telah berusaha melakukan bantuan CPR bagi menyelamatkan Abd Shukur namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil.
Adik mangsa yang mengalami kecederaan pula telah diberikan rawatan oleh anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).
“Bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut pada jam 2.51 pagi sebelum berjaya memadamkan keseluruhan api,” ujarnya.
“Anggaran kerugian akibat kebakaran adalah sebanyak 100 peratus bagi rumah sementara manakala hanya 20 peratus bagi rumah tetap,” tambah beliau.
Masih belum diketahui punca sebenar kebakaran ini serta jumlah kerugian yang telah ditimbulkan dan siasatan masih dijalankan.
– Bernama