Adun Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid menyelar kenyataan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar yang mendakwa penahanan seorang aktivis PAS atas dakwaan menceroboh adalah bersifat tuduhan semata-mata.
Katanya, laporan polis menyatakan tindakan mereka cuba memasuki kediaman Menteri Besar tanpa kebenaran beberapa kali jelas menunjukkan berlaku cubaan menceroboh.
Danial menegaskan kenyataan Sukri itu amat tidak bertanggungjawab kerana mampu memberi isyarat yang salah kepada ahli PAS untuk menghalalkan apa jua tindakan demi mencapai matlamat parti.
“Adakah tindakan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar ini dihalalkan Pemuda PAS,” soal Danial dalam kenyataan hari ini.
Ia ekoran isu tiga lelaki termasuk seorang wartawan media rasmi PAS, Harakah direman dua hari selepas menceroboh masuk kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam, pada 5 Jan lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kesemua suspek memberi alasan (masuk tanpa kebenaran) untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, namun mereka gagal menunjukkan sebarang jemputan rasmi.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh penjaga kediaman itu, wartawan berkenaan sebelum itu telah mencuba masuk tetapi dihalang pihak polis.
Selepas percubaan pertama gagal, wartawan itu didakwa cuba menyelinap masuk dengan bersembunyi di dalam sebuah Proton Waja, yang membawa dua individu lain yang mendakwa masuk ke kediaman itu bagi menghadiri mesyuarat.
Bagaimanapun, percubaan kedua turut digagalkan oleh polis, yang memeriksa kereta sedan itu di tempat letak kereta kediaman.
Difahamkan, salah seorang yang ditahan adalah seorang pemimpin akar umbi dari sebuah bahagian PAS di Selangor.
Hormati prinsip kedaulatan undang-undang
Danial yang juga Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional turut mengingatkan Sukri agar tidak mencampuri siasatan pihak berkuasa dalam kes tersebut dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
“Perlu diingatkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, jika tidak melakukan sebarang kesalahan, tidak perlulah melatah,” katanya.
Pada satu hantaran di Facebook Sukri, antara lain, mengatakan pihak yang membuat tuduhan menceroboh sebelum dibicarakan dan menjadikan gambar bukti adalah pihak yang ‘buta’ undang-undang.