Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak memaklumkan istiadat mengangkat sumpah jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan berlangsung pada Isnin depan.
Wakil rakyat Pending Violet Yong (gambar, bawah) menyiarkan di Facebook hari ini bahawa dia akan menghadiri majlis itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Yong berkata dia telah menerima jemputan itu dua hari lalu.
“Tiada nama disebut siapa TYT Sarawak yang baru (dalam jemputan itu),” jelasnya.
Secara berasingan, The Borneo Post melaporkan telah melihat surat jemputan untuk majlis berhubung pelantikan TYT Sarawak yang baru.
Portal berita itu juga melaporkan difahamkan nama TYT yang baru itu akan diumumkan esok selepas watikah pelantikan dibentangkan di Istana Negara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak sekarang Abdul Taib Mahmud akan menamatkan penggal ketiga perkhidmatannya pada akhir Februari.
Dia pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 2014 selepas 33 tahun menjadi ketua Menteri Sarawak.
Desas-desus mengatakan pemimpin veteran Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menjadi penggantinya.
Wan Junaidi dilaporkan telah menyerahkan perletakan jawatannya sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara minggu lepas.