Adun Selat Kelang, Abdul Rashid Asari, berkata keputusannya memberikan sokongan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor pada minggu lalu bukanlah dengan niat mahu mengkhianati parti.
Sebaliknya, kata bekas pengerusi Bersatu Selangor itu, dia bertindak demikian kerana ‘terpaksa’ disebabkan oleh pelbagai perkembangan semasa yang berlaku.
“Saya memang tak ada niat pun (nak khianat) sebenarnya… saya pegang satu Selangor ini (sebagai pengerusi Bersatu) selama sembilan tahun, takkanlah saya nak tinggalkan begitu saja.
“Tapi macam saya kata sebelum ini, percaturan politik dalam Bersatu ini terlalu banyak dan sebab itu saya rasa diketepikan.
“Mereka tak mahu dengar dan tak peduli langsung dengan bekas pengerusi perhubungan Negeri.
“Saya sebenarnya tidak pun mahu buat semua ini (sokong kerajaan Negeri) tapi kalau dah mereka buat saya begini, saya perlulah ambil tindakan sedemikian,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semalam seorang pemimpin PAS membidas Abdul Rashid kerana mengambil langkah sendiri dengan menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan Selangor.
Anggap Muhyiddin sahabat
Khairil Nizam Khirudin berkata tidak perlu untuk bekas exco kanan Selangor itu memberikan pelbagai alasan untuk menjustifikasi tindakannya bersama kerajaan Negeri,
“Kalau sudah khianat, khianatlah. Tak perlu buat alasan,” kata bekas ketua penerangan PAS Pusat itu kepada Malaysiakini.
Abdul Rashid membuat pengumuman itu pada 6 Mac lalu.
Dia mendakwa berasa kecewa terhadap beberapa isu termasuk kegagalan PAS menghormati perjanjian bertulis untuk memberi laluan kepada Bersatu bertanding di kerusi parlimen Kapar pada PRU ke-15 lalu.
Kerusi tersebut – yang sebelum ini dianggap selamat untuk PKR-PH – dimenangi calon PAS, Dr Halimah Ali.
Dalam sidang medianya pada Isnin lalu, Rashid juga mengakui kecewa dengan layanan Bersatu terhadapnya sehingga berasa seperti tidak dipedulikan oleh parti itu.
Mengulas kenyataan PAS, Abdul Rashid hari ini berkata dia juga memang mengenali Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dianggapnya sebagai sahabat lama.
“Saya memang tak ada niat… sahabat saya Muhyiddin.
“Saya kenal dan ingat dia sebagai sahabat lama saya, takkanlah saya nak jatuhkan maruah dia dan sebagainya.
“Tetapi, kerana kerana tindakan-tindakan pimpinan tertinggi yang seolah-olah mahu menolak saya dari Selangor, maka saya kenalah ambil tindakan,” katanya lagi.
Untuk rekod ketika ini tempat Abdul Rashid sebagai ketua tertinggi Bersatu Selangor diisi bekas Menteri besar, Azmin Ali.
Sebelum ini Abdul Rashid dilapor menyatakan rasa tidak senangnya dengan Bersatu apabila ia dipimpin oleh pihak tertentu yang “baru sehari dua” menyertai parti tersebut.
Walaupun tidak menyebutkan sebarang nama, difahamkan Abdul Rashid merujuk kepada Azmin. Bekas timbalan presiden PKR itu menyertai Bersatu selepas jatuhnya kerajaan PH ekoran Langkah Sheraton pada 2020.