Keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ), di Bukit Mertajam kini semakin stabil.
Isterinya Musalmah Yusop berkata keadaan kesihatan suaminya yang menerima rawatan kerana mengalami keradangan dalam perut semakin baik, dan beliau ketika ini berada dalam keadaan separa sedar.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suami saya termasuk ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang dilakukan semalam menunjukkan keadaan kesihatannya semakin baik.
“Sebelum ini bukan ditidurkan sepenuhnya, tetapi doktor beri ubat tidur untuk beberapa hari bagi membolehkannya berehat serta menerima rawatan lanjut di sini (ICU HSJ),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ICU HSJ di Bukit Mertajam hari ini.
Beliau berkata Nor Zamri yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi mengadu sakit perut tiga hari lepas sebelum dihantar ke hospital.
Musalmah berkata suaminya kini memerlukan rehat yang secukupnya, dan beliau memohon agar Nor Zamri diberi ruang untuk tidak diganggu di hospital.
Nor Zamri, 54, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.
— Bernama
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!