Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lepas. Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Menurut catatan di Facebook Istana Negara, kedua-dua baginda merasa sedih dengan pemergian mereka dan berharap agar keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan ini.
Kedua baginda mendoakan agar roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Dalam kemalangan itu, enam sekeluarga meninggal dunia. Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43 serta empat orang anak mereka – Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.