Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat dan jasa yang diberikan dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.
Seri Paduka Baginda yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM menghargai sumbangan dan jasa para pensiunan polis yang telah memberikan sumbangan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
“Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan bersama orang-orang beriman dan syuhada,” kata Seri Paduka Baginda melalui catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Selamat menyambut Hari Polis Ke-217 kepada semua warga PDRM dan veteran,” tambah beliau.
Sambutan Hari Polis kali ini mengambil tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
– Bernama