Pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Kajian Media di Universiti Teknologi Mara, Prof Ismail Sualman, telah menyatakan azamnya untuk lebih cermat dalam penulisannya.
Beliau membuat kenyataan itu melalui media sosial, Ismail juga menyatakan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan fakta semasa membicarakan jasa tokoh wartawan negara, Allahyarham A Samad Ismail.
Tulisan Ismail disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia semalam.
“Fakta yang benar adalah penulis sebenar novel Salina adalah tulisan A Samad Said.
“Dengan ini saya menarik balik fakta berkenaan sebelum ini.
“Saya juga berjanji akan lebih teliti dalam penulisan selepas ini, segala kesulitan amat dikesali,” katanya melalui hantaran di Facebook Story miliknya.
Ismail berkata demikian ekoran kesilapan fakta dalam rencananya apabila dia memetik salah satu novel besar A Samad Said, Salina, sebagai karya Samad Ismail.
Untuk rekod, selain menjadi wartawan, Samad Ismail dikenali sebagai sasterawan yang banyak menghasilkan tulisan kreatif, termasuk beberapa novel.
Antara novel Samad Ismail adalah Sutinah, Tembok Tidak Tinggi dan Patah Sayap Terbang Jua.
Ismail menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah atas kelemahan dirinya dan beliau mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan tersebut.
“Kesilapan ini adalah tanggungjawab saya sendiri dan tiada kaitannya dengan mana-mana organisasi,” katanya.
Rencana Ismail yang disiarkan dalam Utusan Malaysia dengan tajuk Kursi A Samad Ismail lonjak bidang kewartawanan telah menarik perhatian ramai apabila beliau terkeliru dalam membezakan dua orang tokoh besar negara.
Beliau menulis: “Beberapa karyanya yang terkenal antaranya adalah novel Salina yang menceritakan kisah seorang wanita Melayu […]”.
Semakan Malaysiakini malam tadi mendapati rencana berkenaan dalam versi dalam talian sudah tidak lagi memaparkan kenyataan tersebut.