AirAsia menawarkan promosi tambang ke Almaty, Kazakhstan bermula RM88 termasuk semua sehala sempena pelancaran penerbangan pertama AirAsia X (AAX) ke destinasi tersebut pada 14 Mac, 2024.
Jualan promosi ini hanya berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang hari ini.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan bahawa tambang promosi ini boleh ditempah menerusi aplikasi airasia Superapp atau laman web bagi tempoh perjalanan bermula 14 Mac hingga 26 Okt, 2024.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Almaty akan berlepas pada pukul 12.50 tengah hari manakala penerbangan dari Almaty ke Kuala Lumpur akan berlepas pada pukul 8.05 malam setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad bagi kedua laluan tersebut.
Pada 23 Nov, 2023, AirAsia X Bhd (AAX) mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk memperluaskan pengaruh mereka ke Asia Tengah dengan menjadi syarikat penerbangan Malaysia pertama yang menawarkan penerbangan terus ke Almaty bermula 14 Mac, 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail berkata bahawa Kazakhstan merupakan destinasi baru yang mendapat sambutan yang luar biasa dan jualan promosi ini membuktikan komitmen mereka untuk menyediakan perjalanan yang lebih mudah dan berpatutan.
“Kami menjangka permintaan yang tinggi terutamanya daripada golongan pelajar dari Almaty atau pengembara yang ingin melawat Kuala Lumpur dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.
– Bernama