Pemuda Umno akan mempertahankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk pendidikan bumiputera sahaja.
Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan tidak akan ada mana-mana pihak yang boleh mendesak supaya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera.
âJangan ganggu UiTM, UiTM kekal milik bumiputera dulu, kini dan selamanya.
âBila kita mempertahankan hak, kita tak pernah ambil hak orang lain. Kita tak pernah rampas hak kaum lain. Malah kita bantu lagi,â kata Muhamad Akmal pada satu perkongsian video di media sosial.
Mengulas lanjut, Adun Merlimau itu berkata, banyak lagi universiti selain UiTM yang boleh menawarkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks.
Ucapan Dr Akmal tersebut difahamkan dibuat ketika merasmikan Program Kesukarelawan Antarabangsa UiTM di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau, Melaka hari ini.
Pada penghujung video yang dikongsikan itu, Akmal turut dilihat mengetuai hadirin program itu melaungkan slogan âpertahankan UiTMâ.
Bantahan tercetus selepas UiTM secara sementara bersetuju membuka program latihan teknikal pakar jantung parralel pathway kepada pegawai perubatan bukan bumiputera.
UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Penempatan tujuh orang bakal pakar kardiotoraks ini hanyalah sementara sebelum Pusat Perubatan UM (PPUM) membuka program ini.
Pun begitu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM tetap bertegas melancarkan kempen berpakaian serba hitam menyatakan ia tanda bantahan terhadap dakwaan rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.
Pada 8 Mei, Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap komited mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi berkenaan.
Bagaimanapun, Shahrin berkata UiTM akan menerima apa sahaja keputusan kerajaan yang mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir (gambar atas) menegaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai cadangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.
Menurutnya, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 â UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Malaysia menghadapi kekurangan pakar perubatan termasuk pakar bezah jantung.
Tiga pusat Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu hanya mempunyai seorang pakar bezah kardiotoraks setiap satu.