Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam.
Dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata ia demi meredakan polemik yang sedang berlaku.
“Didoakan semoga KDYMM Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran,” katanya selepas menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Ibrahim hari ini menitahkan baginda berharap pemimpin politik di negara ini, tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman.
Seri Paduka Baginda bertitah pemimpin daripada semua parti mesti menjadi jambatan atau penghubung antara masyarakat majmuk di Malaysia, dengan memberikan contoh kelakuan yang matang.
Pimpinan kanan Umno dan DAP menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara yang tertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu sensitiviti agama dan kaum.
Selain Dr Muhamad Akmal, pemimpin lain yang hadir pada sesi menghadap itu ialah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong.
Pada 5 April yang lalu, Dr Muhamad Akmal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998, selepas polis menerima dua laporan berhubung ucapan di media sosial dan di Kelantan tentang isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.
– Bernama