Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, tidak ditahan oleh polis sebaliknya cuma dipanggil untuk membantu siasatan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya tidak fikir dia ditangkap, tetapi hanya dipanggil (untuk disoal siasat),” katanya seperti dipetik FMT.
Terdahulu media melaporkan bahawa polis telah menahan Akmal sebaik saja dia tiba di Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.
Akmal – yang mengesahkan penahanan itu di Facebooknya – berkata dia ditahan walaupun dijadualkan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur esok.
Dia kemudian menghabiskan masa selama lebih dua jam memberikan keterangan kepada pihak berkuasa terbabit sebelum dibebaskan kemudian.
Bernama melaporkan Akmal sebagai berkata kenyataan yang diberikan itu termasuk melibatkan laporan polis berhubung ceramahnya di Kelantan baru-baru ini dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti atau isu di Sabah.
“Saya berada di Sabah hari ini untuk menghadiri program Pergerakan Pemuda Umno di Beaufort dan majlis berbuka puasa sama seperti yang kita anjurkan di Negeri lain sebelum ini.
“Sebaik saja tiba di KKIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu) sekitar jam 10.15 pagi, saya diminta untuk ke IPD Kota Kinabalu.
“Saya tidak dimaklumkan yang saya tidak boleh masuk ke Sabah; semua ini berkaitan isu di sana (Semenanjung).
“Saya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis,” katanya kepada pemberita selepas memberikan kenyataannya.
Bagaimanapun, Sinar Harian kemudian melaporkan Akmal dipanggil semula ke ibu pejabat polis Kota Kinabalu pada sebelah petang.
Laporan itu percaya Akmal dikehendaki menjawab beberapa soalan tambahan daripada polis.