Pemuda Amanah tetap meneruskan laporan polis terhadap seorang pempengaruh yang memuat naik video parodi menyindir keputusan mahkamah berkaitan pembatalan peruntukan berkaitan jenayah syariah Kelantan.
Timbalan ketua pemudanya, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid berkata laporan polis akan tetap dibuat walaupun Dd Chronicle telah memadam video itu dan memohon maaf.
“Sebagai pempengaruh, mereka ini dekat dengan masyarakat. Setiap hari orang ramai menonton kandungan dimuat naik melalui media sosial.
“Jadi, perlu berhati-hati agar tidak menyebarkan perkara yang tidak betul, selain haruslah bertanggungjawab.
“Walaupun dia sudah buat permohonan maaf, kami tetap akan teruskan buat laporan polis,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.
Terdahulu, Dd Chronicle atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e memuat naik lakonan tiga minit 55 saat yang antaranya menyindir bahawa perbuatan minum arak dan berjudi bukan kesalahan bawah undang-undang sivil.
Ia dikeluarkan selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan peguan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Abdul Rahman untuk membatalkan peruntukan kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Sebanyak 16 daripada 18 peruntukan itu dibatalkan.
Bagaimanapun, semalam, Dediy, 43, membuat permohonan maaf dan menurunkan video, selain mengakui terlepas pandang serta tidak berhati-hati terhadap fakta dipersembahkan.
SH: Jadikan pengajaran
Sementara itu, Danial berkata kebanyakan pempengaruh beranggapan mereka mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan tidak menghiraukan sama ada fakta dan kandungan itu tepat serta tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Justeru, katanya, tindakan itu diambil agar ia dijadikan pengajaran buat semua pempengaruh serta orang ramai agar lebih bertanggungjawab terhadap komen serta kandungan yang dimuat naik ke media sosial masing-masing,” katanya.
Sementara itu, dia berkata kemungkinan ada kekangan bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyemak kandungan-kandungan yang sensitif di media sosial.
Justeru, Danial mencadangkan orang ramai turut tampil membuat laporan terhadap kandungan yang menyebarkan fitnah serta menyentuh isu-isu sensitif terutama 3R (bangsa, agama, raja).
“Jika parti politik saja buat laporan, orang akan ingat ia mainan politik semata-mata,” kata Danial lagi.
Pemuda Amanah dijadual akan membuat laporan polis pada jam lima petang ini secara serentak di seluruh Negeri. Pemuda PKR pula dilaporkan akan membuat laporan polis secara serentak seluruh Malaysia pada jam tiga petang, esok.
Kena cermat, pesan peguam
Sementara itu, seorang peguam syarie, Raja Mohamad Haziq Raja Mohamad Kamal berkata walaupun orang ramai boleh bebas menyuarakan pandangan mereka, namun perkara itu perlulah bersandarkan fakta.
“Cara menyuarakan pandangan tersebut perlulah cermat dan tidak sehingga memfitnah, memberikan fakta yang salah, atau merendah-rendahkan institusi Kehakiman sebagai contoh menuduh mahkamah sebagai alat penjajah atau tidak mengikut Islam dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, keputusan mahkamah adalah dokumen terbuka yang boleh diakses orang ramai dan dalam keputusan penghakiman sesuatu kes ada diperincikan fakta, isu yang berbangkit serta undang-undang yang berkaitan.
“Jika dirujuk, ada beberapa lagi peruntukan yang membolehkan seseorang itu didakwa atas kesalahan menghina keputusan mahkamah.
“Di Mahkamah Syariah pula ada Seksyen 210 Akta Tatacara Jenayah Syariah yang memperuntukkan kuasa kepada mahkamah dengan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya,” katanya lagi.