Lebih 400 penyokong Najib Razak berkumpul di Kuala Lumpur semalam dalam siri jelajah memperjuangkan “keadilan” buat bekas perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Jelajah pertama itu dianjurkan bersama Akademi Wasatiyyah Madani dan Team NR di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Ia turut dihadiri tiga anak Najib iaitu Mohd Nizar, Mohd Nazifuddin serta Nooryana Najwa yang berkongsi pentas dalam program bertema Demi Najib, We Stand by You.
Bercakap kepada Malaysiakini, wakil penganjur Muhamad Mukhlis Maghribi berkata program semalam adalah usaha memberi penjelasan mengenai kes-kes yang telah dan sedang dihadapi oleh bekas ahli parlimen Pekan itu.
“Hari ini (semalam) dah masuk hari yang ke-432 Najib berada di Penjara Kajang.
“Jadi tujuan jelajah ini adalah memberi penerangan kepada rakyat kerana banyak soalan diajukan di media sosial, khabar angin. Kita nak memberi penjelasan supaya orang ramai faham,” katanya.
Mukhlis mendakwa ada individu tertentu yang mengangkat diri sebagai ketua penyokong Najib namun memberikan mesej yang salah kononnya bekas perdana Menteri itu meminta oran ramai menyokong PN.
Sedang sambung pelajaran
Selain itu, dakwanya, ramai lagi orang yang masih tidak faham bagaimana Najib “dianiaya”.
Dia juga menjelaskan siri jelajah itu tidak berniat memberi tekanan kepada kerajaan dan akan diteruskan ke seluruh negara.
Sementara itu dalam ucapannya Mohd Nizar berkata Najib dianiayai oleh sistem perundangan sekarang kerana wujud kepincangan dan kontroversi semasa ia dibicarakan.
Antaranya kata anak sulung Najib itu, permohonan pihak pembelaan untuk menukar peguam tidak dibenarkan dan ahli politik terbabit terus dihukum.
“Inilah yang dimaksudkan Najib dianiayai dan ini yang saya beritahu sistem keadilan tidak adil.
“Maka, saya berpendapat sistem kehakiman perlu dirombak. Saya minta kerajaan perpaduan segera rombak semula sistem kehakiman,” katanya.
Tambah Mohd Nizar, walaupun dipenjara Najib kini menyambung pelajaran dalam bidang ekonomi di sebuah institusi terkemuka negara.
Terdahulu, penganjur meminta para hadirin menandatangani dua petisyen berasingan yang dikatakan untuk memperjuangkan keadilan kepada Najib.
Petisyen pertama ditujukan kepada Yang di-Pertua Agong untuk memohon pengampunan diraja diberikan kepada anak bekas perdana Menteri kedua negara itu.
Petisyen kedua pula meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat rombakan terhadap sistem kehakiman negara selepas didakwa sebagai tidak adil.
Ketika sesi soal jawab pula, Nazifuddin berkata tidak adil untuk mengatakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak bersungguh-sungguh dalam usaha membantu membebaskan Najib.
“Umno memang memberi bantuan. Nak salah satu orang sahaja tidak adil. Memang terdapat usaha yang banyak khususnya daripada Umno membantu bapa. Presiden (Umno) membantu… ramai membantu.
“Tapi, usaha itu tak sampai lagi kepada pihak sepatutnya.
“Perjuangan ini tak akan berhenti. Pekara ini dibincangkan dalam setiap mesyuarat Umno,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan seorang ahli MIC Kuala Selangor yang bertanya apakah Zahid menjadi halangan dalam usaha membebaskan Najib.
Tiada kelihatan kelibat pemimpin tertinggi Umno menyertai program malam tadi.
Najib dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Dia masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta.