Bekas ahli parlimen Padang Serai N Surendran telah meninggalkan PKR dengan mendakwa parti itu tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan.
Keputusan itu diumumkan melalui respons media sosialnya terhadap pengarah komunikasi parti, Fahmi Fadzil, yang mengingatkannya supaya mematuhi disiplin parti apabila menyuarakan ketidakpuasan hati.
“Fahmi, tak kisahlah disiplin parti. Saya pun dah lama tak jadi ahli parti yang aktif.
“Saya bertanya tentang pembaharuan yang pernah dijanjikan PKR. Tiada jawapan yang memuaskan,” kata Surendran di platform media sosial X.
“Tidak ada gunanya menjadi ahli parti yang tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan.
“Anggap ini sebagai peletakan jawatan saya,” kata Surendran, yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Serai dari 2013 hingga 2018.
Bekas naib presiden PKR ini secara terbuka mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana tidak bertindak dalam kes dakwaan menghasut terhadap bekas ahli parlimen Damansara, Tony Pua.
Pua sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan kontroversinya di Facebook yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara bekas perdana Menteri Najib Razak.
“Siasatan hasutan ke atas Pua, namun Harapan/DAP kebanyakannya senyap – agak memalukan.
“Betapa dalamnya kawan-kawan lama saya telah karam,” tulis Surendran.