Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengaku terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam usaha komunikasi kerajaan susulan pilihan raya Negeri 2023. Kenyataan itu dibuat ketika sesi dialog yang dihadiri Anwar di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor hari ini – di mana seorang pelajar menyuarakan kritikan terhadap kemahiran perhubungan awam kerajaan.
Pelajar Tingkatan 6 tersebut yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Syed Ali berkata sistem komunikasi yang lemah itu, terutamanya di media sosial telah menyebabkan usaha-usaha yang dilakukan kerajaan tenggelam oleh kritikan dan fitnah. “Saya yakin jentera komunikasi yang lemah di pihak kerajaan juga antara yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi kerajaan perpaduan dalam PRN yang lepas,” kata pelajar itu.
Tambahan, “ketidakberkesanan” kementerian dan agensi kerajaan yang tertentu membuktikan perlunya usaha mereformasikan penyebaran maklumat oleh kerajaan dan keperluan untuk pasukan media yang lebih baik. Dalam jawapan balasnya, Anwar menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka. “Betul ada kelemahan kita dalam communication. Saya akui,” kata Anwar sebagai respons kepada kritikan Syed Ali itu.
Katanya, dia pernah berdepan dengan beberapa tuduhan daripada seteru politiknya, bermula daripada dituduh mengkhianati Islam, dilabel sebagai “alat kepada DAP” sehinggalah kritikan kerana menggunakan kenderaan kerajaan untuk tugasan rasmi kerajaan. Terbaru, katanya, dia dikritik kerana menghadiri sebuah konsert, di mana pembangkang melabelkannya sebagai “majlis maksiat”.
Bagaimanapun, perdana Menteri itu berkata bahawa tanggungjawab untuk menangkis kritikan dan serangan sedemikian tidak terletak pada bahu kerajaan semata-mata. “You kena jawab. Apakah itu majlis maksiat atau tidak? Apakah tak boleh seorang perdana Menteri hadir ke majlis kebudayaan? “Apakah di Malaysia ini macam Hari Kebangsaan ada tarian-tarian Cina, Tamil, Dayak, Kadazan, kadang-kadang pakaian yang tak sama dengan peraturan Islam. Apakah tak boleh? “If you say tak boleh, okey, you boleh support mereka. Tapi jika you kata boleh, Syed Ali you kena panggil kawan-kawan tolong terangkan yang betul dan pertahankan yang benar,” kata Anwar.
Kemudian dalam forum itu, Anwar menyeru golongan anak muda untuk menyelamatkan negara dan tidak terperanangkap dengan pergaduhan ‘orang lama.’ Anwar sering dikritik oleh pembangkang yang mendakwa kerajaan tidak melakukan usaha yang ketara sepanjang pentadbirannya sejak Nov lalu. Pada masa sama, kerajaan juga mendapati ia berdepan dengan masalah akibat komunikasi yang lemah.
Insiden terbaru melibatkan rancangan untuk memperkenalkan modul pengajaran hadis di sekolah, yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan kumpulan bukan Islam kerana kurangnya penjelasan bahawa modul itu hanya akan diajar kepada pelajar Islam. Sebaliknya, kerajaan juga telah dikecam berhubung isu penapisan terhadap pengkritiknya.
Beberapa laman web media turut disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas alasan fitnah atau mengeluarkan kenyataan tidak tepat. Pada Ogos, badan pemantau pilihan raya Bersih menegaskan bahawa pendekatan kerajaan untuk menangani kritikan mencerminkan taktik penapisan yang digunakan semasa pentadbiran bekas perdana Menteri Najib Razak, yang melibatkan sekatan laman web dan penggunaan langkah undang-undang untuk menutup mulut lawannya.