Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa Jerman untuk menggunakan pengaruhnya bagi mendesak gencatan senjata dalam konflik antara Israel dan Palestin dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan.
Anwar menyuarakan pandangan itu kepada Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock, yang mengadakan kunjungan hormat kepadanya di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
âBahagian utama perbincangan adalah mengenai Palestin di mana saya menegaskan pendirian Malaysia agar Barat menghentikan kepura-puraan mereka terhadap pendudukan Israel selama beberapa dekad, selain mesti berusaha ke arah mengelak pembantaian terhadap orang awam termasuk anak kecil,â katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Selain itu, Anwar juga menyatakan kebimbangan berhubung isu Myanmar yang masih berlarutan selain menekankan keperluan untuk menegakkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pendidikan.
Anwar juga memaklumkan beberapa perkara lain yang turut dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama dalam pengukuhan berkaitan aspek ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta meningkatkan persefahaman antara budaya.
Baerbock dan delegasinya kini sedang dalam lawatan ke Asia Tenggara iaitu Filipina, Singapura selain Malaysia.
Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 2000, manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.
– Bernama