Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.
Kedua-dua pemimpin itu tiba bersama-sama di Wisma Darul Aman pada 5.40 petang dan disambut beberapa Menteri Kabinet dan Exco kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Difahamkan, dalam mesyuarat lebih sejam itu Perdana Menteri diberikan taklimat berkaitan projek-projek pembangunan Persekutuan yang sedang dilaksanakan di seluruh Kedah.
Selesai mesyuarat itu, Anwar turut dijadual menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Kedah di Darulaman Park, Jitra pada 8 malam ini.
– Bernama