Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesAnwar umum penjawat awam naik gaji 'sikit' Oktober ini

    Anwar umum penjawat awam naik gaji ‘sikit’ Oktober ini

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur
    Kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata ia sebagai langkah sementara, sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.

    “Jadi sementara waktu saya dah bincang dengan Kementerian Kewangan, KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam).

    “Saya kata kalau begitu, sementara kajian ditingkatkan saya cuba dalam Belanjawan Madani bulan Oktober ini, kita cuba naikkan dulu sedikit gaji (penjawat awam), sementara kita buat kajian menyeluruh yang boleh siap tahun depan,” katanya semasa berucap di program tinjauan mesra pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre di Langkawi, hari ini.

    Anwar berkata adalah menjadi dasar kerajaan sekiranya ada kemampuan untuk membuat pelarasan semula gaji penjawat awam setiap 10 tahun dan ia sepatutnya telah dilakukan dua tahun lalu.

    Namun, Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini tidak melaksanakan perkara itu malah mesyuarat bagi membincangkan isu itu juga tidak dilakukan.

    “Jadi bila kita adakan mesyuarat dan bila saya semak dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) saya kata kenapa tidak ada mesyuarat lagi? Dia kata takda. Pada hal gaji penjawat awam ini tiap 10 tahun ikut keupayaan kita, kalau kita boleh naik sikit kena naik sebab inflasi tu naik juga sikit,” katanya.

    Anwar berkata hasil mesyuarat bersama KSN, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan KPPA perkara itu kemudian telah diteliti semula.

    “Kita periksa semula fail, jadi saya selaku Menteri Kewangan kata kena ada keputusan gaji penjawat awam dinaikkan termasuk polis, tentera, penjawat-penjawat awam termasuk staf LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” katanya.

    ALSO READ:  Saksi dakwa ada kumpulan Islam ancam paderi Koh pada 2011

    Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali dan KPPA Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

    Sementara itu, Anwar memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk memberikan elaun seberang laut bagi penjawat awam bertugas di Langkawi seperti yang dinikmati oleh penjawat awam dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di Semenanjung (bayaran insentif wilayah).

    “Ada juga cadangan dia kata orang di Pulau Tuba sakit, nak mai (ke Langkawi) macam mana, jadi kita dah order ambulans laut, tapi saya tak setuju lancar sekarang (sebab Pilihan Raya Negeri),” katanya.

    Menyentuh mengenai Langkawi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam usaha menjadikan pulau peranginan itu pesat membangun semua jabatan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diselaras bagi menjalankan program-program tertentu.

    “Makna tiap syarikat kerajaan yang besar, TNB, Khazanah mesti perhati dan ada rancangan untuk mengangkat kedudukan Langkawi untuk menarik pelancong,” katanya.

    Bagi kakitangan swasta di negara ini pula, Anwar berkata kerajaan sudah di peringkat akhir kajian untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membantu kenaikan gaji pekerja di sektor itu.

    “Bagaimana dengan pekerja lain seperti kakitangan hotel, syarikat dan kilang sedangkan penjawat awam kita naik gaji. Maka saya minta Kementerian Ekonomi siapkan kertas kajian, ada tak negara guna duit kerajaan tolong gaji swasta, rupanya ada. Tidak mudah laksana dalam keadaan ekonomi sekarang tapi susah macam mana pun masalah dihadapi rakyat kena ada perubahan,” katanya.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts